KENALI MALAYSIA . .

| Sunday, August 30, 2009 | |





hola~
ifin telah menjumpai website neh & agak menarik kerana paparan yang ditunjukkan boleh dijadikan bahan rujukan kita sebagai rakyat Malaysia. kalo you guys ada masa, lungsurilah website neh:

http://www.malaysiamerdeka.gov.my


**************



PERLEMBAGAAN
Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah undang-undang bertulis yang tertinggi dan terutama yang menjadi rujukan bagi pentadbiran negara. Perlembagaan ini mengagihkan kuasa tadbir urus negara menurut amalan sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen. Perlembagaan ini boleh dipinda dengan sokongan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di Parlimen.

Di Malaysia, sebahagian daripada hak-hak asasi manusia adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, Perlembagaan ini menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun dan berpersatuan; beragama dan juga hak-hak bersangkutan pendidikan. Setiap warganegara perlu mengetahui hak asasi masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


**************




SEJARAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.

Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957. Bila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.


**************




JALUR GEMILANG
Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Semasa sambutan kemerdekaan ke 40, pada 31 Ogos 1997 Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memilih nama Jalur Gemilang bagi bendera Malaysia.


**************




BUNGA KEBANGSAAN
Bunga Raya atau Hibiscus Rosa dipilih sebagai sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu YTM AI-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepada keunikan bunganya yang merah dimana ia melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.

Bentuk lima kelopak yang terdapat pada bunga raya memberi maksud lima prinsip Rukun Negara. Bunga yang juga dikenali sebagai "Queen Tropical Flowers" ini adalah bunga yang tergolong daripada keluarga Malvaceae yang mempunyai 300 spesis tumbuhan.

Kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan yang hidup harmoni di negara tercinta ini. Warna merah pula bermaksud kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa.


**************




RAKYAT MALAYSIA - RAKYAT MAJMUK
Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai etnik yang tinggal dalam satu kawasan dan berjiran hidup dengan harmoni dan masing-masing bebas menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka tanpa sebarang gangguan.

Hujah ini dapat dikukuhkan lagi apabila pada musim perayaan mereka saling kunjung-mengunjung antara satu sama lain. Apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina misalnya, rakan-rakan yang berbangsa Melayu dan India juga turut mengunjungi rumah rakan dan jiran yang berbangsa Cina untuk bersama merayakannya Kita sebagai warganegara Malaysia seharusnya bersyukur kerana dikurniakan keharmonian antara kaum maka benarlah jika dikatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik kepada negara dari aspek perhubungan antara kaum.


**************


RUKUN NEGARA
Rukunegara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut:

"Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
•Kepercayaan kepada Tuhan
•Kesetiaan kepada Raja dan Negara
•Keluhuran Perlembagaan
•Kedaulatan Undang-Undang
•Kesopanan dan Kesusilaan


**************


PARLIMEN
Parlimen, iaitu Kuasa Perundangan bagi Malaysia, berperanan menggubal undang-undang untuk diguna pakai di negara ini. Parlimen berkuasa meluluskan undang-undang di peringkat Persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang sedia ada, menyemak dasar-dasar Kerajaan, meluluskan perbelanjaan dan meluluskan cukai-cukai baru. Ia juga adalah wadah untuk perbahasan dan perbincangan; dan merupakan saluran bagi mengutarakan suara orang ramai dalam hal-ehwal negara.

Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen iaitu:

• Yang di-Pertuan Agong
• Dewan Negara
• Dewan Rakyat


**************


KUASA TADBIR URUS
Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembahagian kuasa tadbir urus kepada tiga bahagian iaitu Kuasa Eksekutif, Kuasa Kehakiman dan Kuasa Perundangan. Pengagihan kuasa ini dibuat di kedua-dua peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai menepati syarat sistem demokrasi berpersekutuan yang menjadi asas pentadbiran negara ini.

KUASA EKSEKUTIF
Kuasa Eksekutif, iaitu kuasa pentadbiran, diperuntukkan di bawah Perkara 39 Perlembagaan Malaysia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi diselenggarakan oleh Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Jemaah Menteri adalah bertanggungjawab terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap tindakan eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah disalurkan daripada Kuasa Diraja, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bagaimanapun, menurut prinsip pemerintahan Demokrasi Berparlimen, Perdana Menteri adalah Ketua Eksekutif.

KUASA KEHAKIMAN
Kuasa Kehakiman adalah dipegang oleh Mahkamah Atasan (yang merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Khas, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak); dan Mahkamah Rendah (merangkumi Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, Mahkamah Syariah, Mahkamah untuk Kanak-kanak, Mahkamah Penghulu dan Mahkamah Anak Negeri) seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan. Ketua Kehakiman ialah Ketua Hakim Negara. Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa meluluskan rang undang-undang yang digubal Parlimen atau oleh Badan Perundangan Negeri.

KUASA PERUNDANGAN
Kuasa Perundangan iaitu kuasa menggubal undang-undang di peringkat Kerajaan Persekutuan terletak pada Parlimen, yang diketuai Yang di-Pertuan Agong dan mengandungi Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Di peringkat Negeri, kuasa ini dipegang Badan Perundangan Negeri masing-masing, yang dipilih lima tahun sekali. Antara lain undang-undang dan peruntukan yang digubal oleh Parlimen termasuklah fungsi menteri-menteri, konvensyen dengan negara-negara luar, penaikan kadar cukai dan pelulusan Bajet negara.


**************


LAGU NEGARAKU
Peranan Lagu Kebangsaan bukan sahaja untuk membangkitkan semangat patriotik terhadap negara bahkan ianya melambangkan sosiobudaya serta mempaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara berkenaan. Lagu Kebangsaan Malaysia dinamakan Negaraku. Maksud lirik lagu Negaraku ialah menyeru rakyat dari berbagai bangsa, agama dan sosiobudaya hidup bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan. Di samping itu lagu ini memohon rahmat dan kebahagiaan dari Allah untuk kesejahteraan raja, rakyat dan negara tercinta Malaysia. Lagu Negaraku asalnya berentak moderato sama seperti kebanyakan negara-negara beraja lain di dunia. Walau bagaimanapun sesuai dengan perkembangan sosioekonomi negara, pada 30 Ogos 1993 iaitu sempena menyambut Perayaan Hari Kebangsaan tahun 1993, kerajaan telah mengubah rentaknya kepada rentak march iaitu lebih cepat dan penuh bersemangat. Rakyat Malaysia yang cintakan negara dan raja perlu mengetahui lebih dalam mengenai Negaraku supaya lebih bersemangat patriotik.


**************


SEJARAH LAGU KEBANGSAAN
Mengikut rekod terdapat dua sumber mengenai asal usul Lagu Kebangsaan sebelum lagu Negaraku ini dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia. Lagu tersebut merupakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak dan di samping itu juga lagu yang popular bernama Terang Bulan. Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini telah digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebesaran Negeri Perak pada tahun 1901 iaitu pada masa pertabalan Raja Edward VII di England.

Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Marhum Rahmatullah) menjadi Sultan Negeri Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916. Pada masa pertabalan Raja Edward VII pada tahun 1901, Sultan Idris telah berangkat ke England sebagai wakil Raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam Istiadat Pertabalan tersebut. Apabila tiba di Pelabuhan Southampton, Pegawai Protokol dari pejabat koloni luar naik ke kapal dan bertanyakan Lagu kebesaran Negeri Perak. Adalah menjadi amalan di England pada masa itu bahawa apabila Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan negeri tersebut dimainkan.

Pada masa itu Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Raja Harun bin Sultan Abdullah, Setiausaha Sulit kepada Sultan adalah seorang ahli muzik. Beliau walaupun sedar bahawa Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri tidak mahu mengaku kalah. Beliau memberitahu Pegawai Protokol tersebut bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri tetapi not lagu tersebut tidak dibawa bersama. Namun begitu beliau menyatakan bahawa beliau boleh memainkan lagu tersebut tanpa not.

Setelah mendengar penerangan Raja Harun bin Sultan Abdullah maka Pegawai Protokol pun membenarkan beliau memainkan lagu tersebut tanpa not. Maka Raja Harun pun memainkan Lagu Kebesaran Negeri Perak tanpa not. Lagu tersebut sebenarnya ialah lagu Terang Bulan. Dengan itu berkumandanglah lagu Terang Bulan di bumi England pada tahun 1901 buat pertama kali dan sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak. Dari saat itu lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negeri Perak sehingga ia dijadikan Lagu Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia.

Satu lagi sumber mengenai asal usul lagu Negaraku ialah cerita yang disampaikan oleh Raja Kamarulzaman anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris. Beliau menyatakan bahawa lagu Terang Bulan ini mula dijadikan Lagu Kebangsaran Negeri Perak pada tahun 1888 apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda ditabalkan. Baginda Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Setibanya rombongan Diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria telah meminta not Lagu Kebesaran Negeri Perak dari Raja Mansur, juruiring Sultan Idris. Mengikut amalan protokol ketiga itu Lagu Kebesaran Negeri Perak akan dimainkan sebaik sahaja baginda Sultan berangkat masuk ke dewan majlis di mana istiadat yang berkenaan dijalankan. Untuk mengelakkan malu maka dengan kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau telah menyatakan bahawa not lagu tersebut terlupa dibawa. Walau bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri bahawa sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat not lagu, beliau boleh membunyikannya dengan cara bersiul.

Lagu yang disiulkan itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari oleh penduduk Negeri Perak. Maka dengan itu Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan. Tuan Haji Mubin Sheppard yang pernah memegang jawatan Pengarah Arkib Negara telah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku ini. Beliau mendapati cerita dari dua adik beradik iaitu Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah binti Almarhum Sultan Abdullah dan juga dari Raja Kamarulzaman.

Mengikut dua adik beradik ini kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.

Raja Kamarulzaman juga ada menceritakan bahawa lagu ini telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku.
PEMILIHAN LAGU NEGARAKU

Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Pada ketika itu Malaya berada di ambang kemerdekaan maka wajarlah ia mempunyai sebuah lagu kebangsaan sendiri. Maka dengan itu satu ketetapan telah diambil untuk mendapatkan sebuah lagu kebangsaan bercorak patriotik yang merangkumi seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Ekoran dari ketetapan ini satu jawatankuasa telah dibentuk di mana bertujuan untuk mendapatkan sebuah lagu kebangsaan yang sesuai bagi Malaya yang bakal merdeka.

Y.T.M. Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Cadangan Y.T.M. Tunku ini dipersetujui dan dilaksanakan. Pertandingan ini bukan sahaja terhad kepada penduduk Malaya tetapi telah dibuka ke seluruh dunia dan hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Untuk memilihnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk membuat pemilihan dengan teliti dan sempurna.

Jawatankuasa pemilihan ini terdiri daripada :
Pengerusi :
1.Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj

Ahli-ahli :
2.Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mewakili Raja-raja.
3.Dato’ Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran.
4.Encik Ya’akob Latiff, Pengarah Penerangan.
5.Encik D.S.P. Croft, Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan.
6.Kapt. Lenthall, Pengarah Muzik, Askar Melayu.
7.Encik A.T. Read, Pengarah Penyiaran Radio.

Jawatankuasa ini menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Mereka meneliti setiap lagu yang diterima. Namun demikian Jawatankuasa ini berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan. Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada :
1. Benjamin Britten
2. Sir William Walton
3. Carlo Menetti dan
4. Zubir Said

Mereka telah menggubah dan mencipta beberapa lagu kebangsaan untuk diteliti oleh sebuah Panel Hakim yang dibentuk khas untuk membuat pertimbangan. Panel Hakim berpendapat bahawa lagu ciptaan mereka adalah tinggi mutunya namun mereka masih berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu yang boleh dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Setelah dipertandingkan dan setelah mempelawa beberapa ahli penggubah lagu termasyhur masih belum memperolehi hasil yang diharapkan maka akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada. Tujuannya ialah untuk mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara. Setelah mendengar kesemua lagu negeri maka Jawatankuasa ini telah membuat keputusan bahawa Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara. Maka dengan itu jadilah lagu itu sebagai Lagu Kebangsaan Malaya yang merdeka dan akhirnya Lagu Kebangsaan Malaysia. Senikata lagu kebangsaan ini telah ditulis bersama oleh Panel Hakim di mana Y.T.M. Tunku Abdul Rahman telah memainkan peranan yang penting.

NEGARAKU (LIRIK)

NEGARAKU
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
RAKYAT HIDUP BERSATU DAN MAJU
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA


**************


NEGERI-NEGERI




**************


YANG di-PERTUAN AGONG
Yang di-Pertuan Agong adalah institusi Ketua Negara seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan. Gelaran rasmi yang penuh bagi baginda adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda menjalankan tugas-tugas seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Sebagai Kepala Utama Negara, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Yang di-Pertuan Agong dilantik setiap lima tahun mengikut giliran yang telah ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.

SEJARAH PERLANTIKAN
Pada Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah berkenan untuk memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong bagi Ketua Negara Persekutuan Tanah Melayu, dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut susunan Raja yang paling lama memerintah. Mengikut susunan ini, Sultan Johor Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang naik takhta pada 1895 adalah yang paling lama memerintah, tetapi baginda, yang ketika itu berusia 84 tahun, telah menolak pencalonan tersebut disebabkan telah lanjut usia.

Yang kedua dalam turutan, Sultan Pahang Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah, yang naik takhta pada 1932, juga telah menolak pencalonan. Maka itu, Raja yang ketiga paling lama memerintah iaitu Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan telah sebulat suara dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 1933.

PEMILIHAN YANG DIPERTUAN AGONG
Untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah merupakan Raja yang memerintah di salah sebuah daripada sembilan buah negeri persekutuan iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Perak dan Kelantan. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan tatacara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.





**************


PERDANA MENTERI




banyak lagi sebenarnya info-info dalam website neh. memang menarik. agak tertarik. mana-mana students yang nak buat kajian tempatan atau pun untuk ulangkaji pelajaran, bolehlah melungsuri website neh. alah, kita-kita yang dah berkerjaya neh pun tak luak kalo jengok-jengok website neh sebab ifin pasti ada antara kita sekang neh 'buta sejarah'...


**************




sambutan biarlah wajar perancangannya.
merdeka bukan bermakna kita boleh merdekakan 'hak' kita.
jagalah jangan sampai dijajah semula.

1 comments:

@LiYaNNuaR Says:
August 31, 2009 at 3:10 AM

waaaaaaaaaah... thanks for sharing!

Related Posts with Thumbnails